Misi Kemanusiaan Palu, Indonesia · 2019
Perkongsian asal SIAP SIAGA dalam Bahasa Melayu. Tarikh di atas ialah tarikh penerbitan.

Kami di Pertubuhan Sahabat Siap Siaga Malaysia (SIAPSIAGA) amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia dan warga korporat, dermawan serta individu-individu untuk menyumbang dalam membantu mangsa tragedi gempa bumi dan tsunami di Kota Palu, Sulawesi, Indonesia.
Kejadian kemusnahan alam yang berlaku pada 28hb September 2018 yang lalu telah mengorbankan seramai 1203 nyawa. Ia bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa bahkan juga meliputi kerosakan dan kemusnahan harta benda termasuk rumah ibadat. Dianggarkan lebih daripada 65,733 kediaman yang musnah dan rosak teruk akibat tragedi ini di sekitar Kota Palu.
Pada 2hb hingga 4hb Februari 2019 yang lalu pihak SIAPSIAGA telah menyempurnakan misi khas penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa di sana. Mereka turut merayu agar dapat disalurkan bantuan untuk pembinaan semula masjid-masjid di Kota Palu yang turut musnah teruk akibat daripada kejadian gempa dan tsunami tersebut.
