Misi Bantuan Bencana Banjir 2023
Perkongsian asal SIAP SIAGA dalam Bahasa Melayu. Tarikh di atas ialah tarikh penerbitan.

Alhamdulillah, Pertubuhan Sahabat Siap Siaga Malaysia telah mengenal pasti beberapa kawasan di Pantai Timur yang terjejas akibat bencana banjir yang telah disahkan oleh ketua kampung di kawasan-kawasan tersebut.
Penyerahan bantuan banjir tersebut diagihkan pada 3 hari iaitu 11, 18, dan 19 Mac 2023. SIAP SIAGA telah mengerahkan kakitangan dan sukarelawan yang hadir ketika sesi penyerahan barangan yang berbentuk keperluan harian dan kelengkapan beribadat kepada mangsa banjir di tiga kawasan di sekitar negeri Kelantan dan Pahang.
Agihan dan penyerahan barangan tersebut dilakukan oleh para kakitangan dan sukarelawan SIAP SIAGA kepada penerima yang terdiri daripada penduduk yang terkesan akibat bencana banjir. Penyerahan barangan keperluan harian tersebut telah dilakukan di kawasan-kawasan seperti di Kg. Mahkota Kuantan Pahang, Kg. Siput Pasir Mas, Kelantan dan Pengkalan Kubor, Kelantan. Penyerahan bantuan di Kg. Siput, dilakukan di Rumah Penggawa Kampung Siput, iaitu lokasi berkumpul, manakala penyerahan barangan di Pengkalan Kubor pula dijalankan di Dewan Kompleks Penggawa Pengkalan Kubor, dan terakhir sekali di Rumah Penggawa, Kg. Mahkota, di Kuantan, Pahang.
Penerima bantuan terdiri dari mangsa banjir yang tergolong dalam kumpulan B40 dan keluarga kurang berkemampuan. SIAP SIAGA telah bekerjasama dengan ketua kampung dan wakil kampung bagi mendapatkan senarai nama penduduk yang benar-benar layak.
Usaha yang dianjurkan ini antara prakarsa bagi menzahirkan komitmen SIAP SIAGA dalam membantu mangsa banjir agar mereka tidak terpinggir dan terhimpit dengan badai kehidupan yang menimpa. Diharapkan, bantuan ini dapat diteruskan agar menjadi suatu contoh kepada individu-individu dan masyarakat sekeliling yang memupuk rasa cinta terhadap warga sebangsa yang memiliki kehibaan kepada yang kurang bernasib baik.
