Baik pulih Surau Al-Syakirin, Dengkil
Perkongsian asal SIAP SIAGA dalam Bahasa Melayu. Tarikh di atas ialah tarikh penerbitan.

Sinonimnya tempat ibadah adalah satu tempat penduduk untuk berkumpul bersama-sama. Melihat kepada perlunya sebuah tempat ibadah yang khusus dan selesa kepada semua penduduk, SIAP SIAGA bertindak untuk mengadakan program kemasyarakatan bagi memastikan Masyarakat Orang Asli yang telah memeluk agama Islam menjaga akidah mereka.
Kewujudan sebuah tempat beribadah seperti surau yang sesuai bagi membangun dan menghidupkan roh keagamaan bersifat kerohanian yang boleh menjadi tunjang dan pedoman hidup penghuni Islam di perkampungan orang asli ini. Pertubuhan Sahabat Siap Siaga Malaysia telah memilih Surau Al-Syakirin Kampung Orang Asli, Kolam Air Bangkong, Dengkil, Selangor untuk dibaikpulih dan dinaiktaraf agar memberikan keselesaan bagi masyarakat orang asli di kawasan tersebut.
Alhamdulillah, proses baikpulih dan menaiktaraf surau ini telah berjalan dengan lancar dan seperti yang dirancang. Pertubuhan Siap Siaga menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada setiap para penyumbang yang telah bersama-sama merealisasikan dan memudahkan perjalanan program ini.
Semoga dengan inisiatif membaikpulih surau ini akan menarik dan menggalakkan individu Islam ke arah mendekatkan diri dengan agama di samping memupuk dan membina akhlak yang baik di kalangan masyarakat orang asli di sekitarnya.
